Thursday 30 December 2010

2010 dan 2011M

Sudah sampai ke penghujung nampaknya 2010 dan tahun baru masihi 2011 semakin hampir. Semakin bertambah umur dan semakin mendekati mati. Persiapan??

2010 memang penuh peristiwa secara peribadi mahu pun umum. Ohhh! Banyak yang telah dilalui.Yang baik mahu pun yang sebaliknya. Saat agak kritikal April, Mei dan Jun yang banyak menguji kesabaran dan kekuatan. Pohon kepada Mu Ya Allah! Semoga tidak lagi berulang.

2011 tetap datang. Seperti biasa perlu mengharunginya sebaik mungkin dan perlu menjadi manusia yang semakin dewasa selaras dengan umur yang bertambah tua. Pastinya perlu menambah bekalan dengan lebih agresif untuk dibawa pulang. Semoga Allah tetapkan hati dan meluaskani ruang dan peluang untuk semua itu. Moga hati tidak terlalu terpaut dengan dunia dan diberi kesempatan untuk melaksanakan kewajipan terbaik mungkin. Insyaallah.


p.s I'm not wishing anyone ucapan tahun baru, okay, sebab ia tiada dalam Islam.



Tuesday 28 December 2010

Besornya gaji!!!

Dari Kerabu Bersuara:

Macamana gaji sampai RM425 ribu sebulan?

Oleh DINSMAN


Ada beberapa perkara menarik sekitar budaya yang mahu saya tulis untuk wacana kali ini sebenarnya. Tapi, ada pula satu hal yang sejak beberapa hari lalu asyik menjenguk ke dalam fikiran, dan seperti meminta supaya dibicarakan, atau setidak-tidaknya diperhatikan.

Perkara tersebut ialah mengenai gaji seorang tokoh perniagaan, yang banyak diperkatakan akhir-akhir ini, apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mahu mengembalikan kemakmuran ekonomi Selangor kepada rakyatnya, atau apa yang disebut-sebut sebagai "merakyatkan ekonomi".


Ini satu daripada beberapa perkara baik yang segera dilakukan oleh Khalid Ibrahim apabila mengambilalih teraju pentadbiran Selangor pada Mac 2008. Dia sendiri seorang tokoh korporat, seorang tokoh perniagaan, sebelum masuk ke bidang politik. Maka sesuai dengan kepakaran dan pengalamannya itu, dia memberi perhatian lebih kepada hal-hal ekonomi.

Salah satu perkara yang diperhatikannya ialah air (di samping soal pasir dan sebagainya). Air di Selangor, seperti yang kita semua tahu, diswastakan pengurusannya kepada sebuah syarikat, dan syarikat itu (seperti yang kita semua pun tahu) dikenali sebagai Syabas. Kerja ini, yakni menswastakan pengurusan air ini, dilakukan di zaman negeri Selangor diperintah oleh Umno-BN.

Khalid Ibrahim memang tahu dan arif sangat dengan perkara penswastaan ini. Dia tahu kenapa pemimpin Umno-BN melakukannya, (kerana dia sendiri pun pernah berada di situ juga dulunya). Keputusan untuk memberi air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada rakyat Selangor itu bukanlah dibuatnya secara sembrono, tanpa mengkaji untung ruginya terlebih dahulu. Dia mempunyai cukup maklumatnya.

Maka dia mahu hentikan amalan gila merompak hak dan kekayaan rakyat yang sekian lama diamalkan oleh para pemimpin Umno-BN itu, yang salah satunya adalah melalui penswastaan air. Ada banyak lagi yang lain-lainnya, yang akan ditanganinya satu persatu. (Mungkin selepas ini Alam Flora).

Ini adalah antara episod pendedahan kerja-kerja jahat-zalim pemimpin Umno yang cukup menarik untuk diperhatikan, dan didedahkan kepada rakyat, supaya rakyat faham dan sedar siapa sebenarnya pemimpin Umno yang sekarang sedang menjerit-jerit "ketuanan Melayu" itu.

Dan paling menarik dalam episod ini, setakat ini, (sekurang-kurangnya bagi orang atau rakyat biasa seperti saya), ialah apabila didedahkan jumlah gaji dan elaun yang diterima oleh tauke dan ketua eksekutif (CEO) syarikat yang menguruskan air bersih di Selangor itu, sebanyak RM425 ribu sebulan, atau RM5.1 juta setahun (seperti dilaporkan).

RM425 ribu sebulan! Bukan RM4,250 dan bukan RM42,500 pun. Tapi RM425 ribu atau hampir setengah juta ringgit sebulan. Sesuatu yang kita tak pernah terfikirkan pun. (Pernahkah? Oh ho, oh ho!) Dan syarikat itu apa perniagaannya? Air!

Air apa? Air biasa! Air yang kita buat minum, mandi, basuh pakaian dan sebagainya itu. Mereka buat perniagaan daripada air itu, yang sumber asalnya boleh didapat percuma di merata-rata bumi di negara kita ini, mereka buat berniaga dan mereka boleh untung sampai begitu besar sekali, sampai taukenya boleh terima gaji sebanyak hampir setengah juta ringgit sebulan.

Ada dua perkara menarik di sini. Pertama, benda yang diperniagakan, dan kedua, jumlah gaji yang terlalu besar.

Benda yang diperniagakan, seperti telah disebut tadi, ialah air. Benda biasa. Benda yang asalnya adalah hak semua orang. (Dan sepatutnya ia terus menjadi hak semua orang, yakni hak Kerajaan, yang memegang amanah untuk rakyat, 'kan!) Alih-alih, di tangan Umno-BN ia ditukarkan menjadi barang perniagaan yang boleh membawa keuntungan yang tersangat besar.

Kalau tidak tersangat besar, macamana taukenya boleh ambil gaji sampai dekat setengah juta ringgit sebulan?

Tahu banyak mana RM425,000 sebulan tu? Kalau anda nak beli rumah teres dua tingkat di sekitar Kuala Lumpur, anda tak perlu tunggu lama. Sebulan gaji saja cukup untuk bayar cash. RM425,000 bahagi 30, jadi RM14,167 sehari.

Kerja apa boleh dapat untung bersih untuk seorang RM14 ribu setiap hari?

Hah ha ... kerja menguruskan air untuk rakyat jelata sebuah negeri yang sebesar negeri Selangor. Siapa yang bayar dia? Siapa yang upah dia? Siapa yang pilih dia untuk buat kerja yang semudah itu?

Tanyalah apa nak tanya pun, dan katalah apa nak kata pun. Memang tak masuk akal. Tak ada penjelasan. Melainkan bahawasanya itu adalah satu penipuan dan perompakan hak rakyat secara terang-terang, yang dilakukan sendiri oleh sebuah kerajaan yang bernama Umno-BN.

Dan satu perkara yang cukup menariknya di sini, bagi saya, ialah bagaimana seorang manusia Islam boleh dengan bersahajanya dan selambanya mengambil duit sebanyak itu setiap bulan dan menganggap itu sebagai hak dia. Dan apabila ada seorang Menteri Besar baru hendak membuat perundingan semula dengan dia supaya perkara itu menjadi lebih wajar, waras, masuk akal dan bersifat agak kemanusiaan, dia membantahnya dengan sekeras-kerasnya dan mempercayai bahawa hukum atau undang-undang akan menyebelahinya.

Menarik! Cukup menarik! Melihatnya dari sudut kajian kemanusiaan, atau kajian manusia. Bagaimana seorang manusia boleh atau mampu mengambil wang sebegitu banyak daripada rakyat jelata yang sebahagian besarnya masih bermasalah untuk membayar bil air walaupun sekadar RM50 sebulan.

Masyarakat apakah masyarakat kita sekarang, yang boleh mewajarkan hal-hal seperti ini berlaku di kalangan kita? Seorang Menteri Besar (yang dipilih oleh rakyat) terpaksa berhadapan dengan seorang manusia yang diberikan hak-hak tertentu dan dikawal oleh undang-undang negara, apabila dia hendak mengembalikan semula air yang asalnya adalah hak rakyatnya, kepada rakyatnya

-----
Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau SMS 013-6362408



Yang masih totok tu, fikir-fikirkanlah, takkan lah sampai kesudah sanggup diperbodohkan.







Thursday 23 December 2010

Wiki Yang Bocor

Semenjak dua menjak ni kisah dari si Wiki yang bocor ni memang menjadi perhatian ramai. Seronok dan teruja juga dengan cerita-cerita sensasi yang telah dibocorkan. Alaahai ! Apalah nasib, malangnya kita mempunyai orang-orang atas yang berperangai entah apa-apa.

Ciis!!apa punya spesis mereka ini ? The latest kes is r***l oleh pak menteri pun boleh berlaku. Maka apa nak di hairankan kalau rakyat jelata semakin bermasalah dari segi sosialnya. Pak menterinya lebih teruk dari itu; telah menyalahkan kedudukannya. Bedebah sungguh!! Malanglah mereka yang memilih pemimpin seperti ini. Apakah yang boleh diharap daripada manusia??? seperti ini?

Bagus si wiki ni bocorkan lah banyak lagi. Tapi yang totok tu mana depa nak percaya? Depa dok asyik ingat dan percaya cerita-cerita hikayat zaman dulu tak habis-habis, ingat zaman serupa ka? Tu yang pekat habih tu or yang kat 'atas' tu semakin kosong, sebab tu tak mampu nak fikir.
Kesian depa..



Saturday 18 December 2010

Rakyat didahulukan, kata Mat

Tertonton berita jam 4 tadi di TV1, ha..ha..ha kata Datuk Ahmad Maslan, 'rakyat sentiasa di dahulukan dan itulah yang selamanya kita lakukan dan akan terus kita lakukan......'

Nak tergelak dan tergelak. Belajar tinggi-tinggi sampai keluar negara, tapi tetap tak cerodik ( kata orang perak) Yang keluar dari mulut tak habis-habis pembohongan.Itu le kerjanya tak habis menipu dan terus menipu. Tak ada langsung rasa bersalah atas pembohongan, tak rasa takut langsung..... ( makcik2 felda boleh kot)

Apa yang rakyat didahulukan, dari segi kesejahteraan ke ?? Harga minyak yang asyik naik, lepas satu, satu. Yang pastinya membawa rantaian kesan kepada rakyat. Apa yang didahulukan?? Dahulukan kesusahan, itu betul.

Gelagat Datuk ni memang lawak, hari tu menoreh getah siap pakai boot wellington lagi, keluar paper,tv berhari-hari. Siap hari bulan merajuk pokok getah tu tak keluar getah lagi. Apa yang di pelajari semasa belajar dulu??Mmm.... masa di o'sea, jadi ahli kelab ........, itulah sebab tak mampu berfikir di luar kotak.

Teruskanlah menipu Mat, nanti kat akhirat berjawab le....



Thursday 16 December 2010

Bertemu Kembali.

Salam 10 Muharam. Hari Asyura. Mmmm... Bertambah lagi setahun umur yang pastinya tetap naik dan tidak akan turun-turun dan semakin hampir kepada .......

Finally, berakhir sudah tempoh hibernasi dengan kunjungan akhir ke pejabat pos tadi. Alhamdulillah. Semoga segala-galanya baik dan teratur serta tiada masalah. Insyaallah.

Begitu lama berdiam, sedar-sedar cuti pun sudah menghampiri penghujungnya. Alahai , belum sempat untuk menikmati percutian sebenarnya.....

Minggu hadapan keputusan PMR akan diumumkan, petanda bahawa sekolah amat hampir untuk dibuka semula. Sidang baru akan bermula dan tentunya akan menjanjikan sesuatu yang baru juga agaknya.

Apapun you will cross the bridge when you come to it. Nak guna masa yang ada tinggal sedikit ini untuk mengemas apa yang patut, dalam dan luar rumah yang sudah terabai begitu lama. Musim hujan begini tidak banyak yang boleh dilakukan di luar. Yang pastinya rumput yang baru dimesin akan cepat lah panjangnya.Kerja-kerja mengecat juga terbantut nampaknya. Alahai.

Oh, di luar langit sudah gelap, hujan sudah hampir turun; angkat kain di jemuurann.....

Jumpa lagi.






Thursday 9 December 2010

Masih berhibernasi

Salam Maal Hijrah. Semoga tahun ini menjadi tahun yang lebih cemerlang lagi bagi kita semua.

Aduh!! Tempoh hibernasi hampir tamat. Alahai..... teramatlah letihnya....... Tidak sabar untuk menanti segalanya selesai...

Banyak yang berlaku sepanjang tempuh ini. Harga minyak naik( paling melampau ), kemalangan maut yang mengerikan ( lagi..? ) , ada demo baju merah, baju hitam ( hebat!!) , pasukan bola sepak Malaysia kena hentam dengan Indonesia 5-1 ( mak aii!!) , Khir Toyo kena dengan SPRM ( mmmmm.....) , Samy Vellu letak jawatan ( a dey..) dan macam-macam lagi...... No comment dolu.

Apa pun, teramat leetiih menunggu sistem aplikasi on line nih.... merangkak macam kura-kura, sementara menunggu muat turun boleh masak air, bancuh kopi dan habis minum, masih tak selesai loading lagi...... aduhaaiii. Apa nak buat..... kena ikut perkembangan lah katakan...

Jumpa lagi...




Monday 22 November 2010

Selamat Bercuti . Cuti bermula???

Baru pulang dari mesyuarat dan bengkel 4 hari yang padat. Fuuh!! Tiada ruang langsung kali ini untuk menjamu mata ber'window shopping'.

Eh, betul ke cuti sudah bermula? Ha, hah.Yang pasti nya yours truly tidak boleh bercuti kerana sebelum sekolah mula bercuti pun kami telah memulakan agenda kerja masa cuti. Mmmmm apa nak buat kan . Demi ..........

Sepanjang perjalanan pulang tadi, kereta menuju ke selatan berderet-deret, 'jam' di banyak kawasan. Penangan cuti Hari Raya Raya Haji. Entah pukul berapalah mereka akan sampai agaknya?

Yang sudah mula bercuti, selamat bercuti tapi jangan sampai lupa diri pulak. Yours truly cuma nak cuti dari berblog dulu. Nak kerja, kerja dan kerja.



Tuesday 16 November 2010

Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha
kepada semua.
Marilah kita sama-sama
menghayati erti qurban sebenar.


Selamat melaksanakan ibadah qurban
dan moga Allah menerima qurban kita.
Ameen.



Saturday 13 November 2010

Catatan Sabtu

Anak-anak yang menduduki MUET akhir tahun, Selamat Berjaya mengharungi ujian buat kali kedua. Semoga keputusan lebih baik dicapai.

Awal pagi menjengah calon yang mengulangkaji sementara menunggu masuk dewan. Ha..ha hah last minutes preparation..... ucap selamat kepada mereka dan melihat mereka berkumpul.... All the best kids....

Sempat ke Ipoh, SERATA melepaskan anak-anaknya keluar hostel hari ini untuk bercuti sehingga penggal baru tahun hadapan. Trafik di Plus Highway tidak sesak dan jalan baik serta lancar. Kalau sentiasa begini bagus sekali.( Cuti official belum bermula...)

Di seberang jalan kelihatan warga Pakat sebuk bersiap sedia menyediakan segala logistik yang perlu bagi majlis malam ini, bersama Datu Dr Harun Din al hafiz. Ada majlis forum... Bahagia rasanya duduk di sini kerana dapat selalu bersam dalam majlis ilmu. Alhamdulillah.

Kat satu sekolah di bandar nun ada hari ko-kurikulum pula. Anak-anaknya berjualan. Bagus semangat mereka walaupun sudah hampir benar cuti tetapi tetap datang ke sekolah untuk aktiviti walaupun di hari Sabtu. Tidak merungut pun mereka dan nampak bersedia dan penuh enthusiastic lagi. Tidak hairanlah mengapa mereka memang selalu mendahului di hadapan dalam apa sahaja lapangan ... Syabas!! Teruskan.

Cuaca baik dan sesuai untuk pelbagai aktiviti dalam dan luar...... Moh...



Monday 8 November 2010

Hujung minggu

Hujung-hujung minggu di penghujung tahun seperti ketika ini selalunya padat dengan majlis walimatul urus. Hujung minggu yang baru berlalu ini juga tidak terkecuali. Ha..Ha.. yours truly juga tidak terkecuali menerima undangan dari keluarga terdekat. Pasangan Malaysia dan Pakistan. Mmmm .... kombinasi yang baik dan percampuran budaya antara dua benua. Makanannya lazaatt..

Hujung minggu juga menyaksikan bagaimana wanita memilih aktiviti mereka. Di satu tempat satu kumpulan wanita menganjurkan majlis ilmu , membincangkan buku 1001 masalah wanita dan membicarakan isu-isu semasa yang relevan. Beberapa meter dari situ beberapa kumpulan wanita pula berkumpulan bersedia untuk pergi marhaban. Siap ada uniform lagi.

Hah! Satu kumpulan mencari ilmu dan satu lagi bermarhaban. Dua-dua bagus kan.. Cumanya kumpulan yang marhaban tu kekadang terover , silap haribulan tak faham pun makna yang dinyanyikan tu. Sebab kalau mereka faham taklah mereka itu selalu menjauhi majlis ilmu yang diadakan.
Apapun buatlah apa sahaja yang boleh memberi manafaat samada dunia mahupun akhirat.



Friday 5 November 2010

Letusan Merapi,musim tengkujuh, banjir dan bermacam lagi

Dari Oktober hingga kini sudah masuk November, Gunung Merapi masih menggegarkan! Letusan terbaru adalah yang terkuat dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada siapa sahaja yang mahu melihat pengajaran dari kejadian itu. Mangsa yang masih hidup tentunya mengalami trauma. Oh! bayangan Qiamat seperti yang di ceritakan al-Quran. Pengajaran berada di mana-mana. Merapi masih lagi mengancam dan memberi peringatan.

Waktu-waktu begini , di hujung tahun seperti biasa merupakan musim tengkujuh dan menjanjikan banjir bagi kawasan-kawasan rendah. Kawasan utara mengalaminya lebih awal dari yang lain dan agak luar biasa. Kasihan dan takziah kepada yang terlibat dan menjadi mangsa. Tidak pernah terfikir akan air dari Siam boleh datang melimpah-ruah sehingga membawa bencana yang menyebabkan kasualti yang tak terduga. Siapakah yang dapat menduga warga emas Jerman itu akan menemui kematiannya di dalam banjir besar itu? Sungguh ketentuan ajal maut itu di tangan Rabbul Jalil.

Pengajaran lagi bagi yang mahu belajar dari pelbagai peristiwa dalam banjir besar di Kedah dan Perlis itu. Bukan jadikan ia isu politik untuk mencari pengundi dan merampas kuasa semula. Ada pulak pihak yang cuba menjadi hero hindustan keluar TV tiap-tiap malam memburukkan pihak tertentu menafikan bantuan yang telah diberikan. Apa ni?? Nak berlakon sangat pi la Bollywood.

Kemelut sosial memang sudah teruk melanda generasi hari ini. Parah! Kita kena cari ubat untuk menyembuhkan. Kena cari ubat yang sesuai. Ada masalah buang bayi, ada masalah perdagangan manusia, ada masalah orang hilang yang banyak lagi belum dijumpai, masalah dadah, rasuah macam-macam lagi. Sosialnya sudah teramat kritikal. Aduh!!!

Tidak cukup kritikal lagi rupanya bagi pihak tertentu sebab itu dicadangkan untuk beberapa lokasi di negara ini akan menjadi HUB HIBURAN MALAM. Apa punya gila manusia ni?? Payah betul apabila ada golongan suka pilih orang yang tidak guna 'aqal dengan waras sebagai pemimpin mereka.

Saturday 23 October 2010

Fiqh Keutamaan

Selepas dua bulan , Us Kamal datang lagi menyambung pengajian buku karangan Prof. Dr Yusuf al Qardhawi; 'Fiqh al-Awlawiyyat'

Kegagalan memilih keutamaan menyebabkan ramai kita tersilap mencatur hidupnya. Ramai kita tidak tahu memilih mana yang lebih penting. Kegagalan ini bukan saja berlaku di kalangan kita orang biasa ia juga berlaku di kalangan pemimpin dan mereka yang berkuasa. Di mana sahaja. Kita tidak mampu melihat keutamaan yang sebenarnya.

Kerana itulah kita dengar dalam bajet baru ini keutamaan diberi untuk membina bangunan 100 tingkat berbanding keperluan memberikan pendidikan dan kesihatan percuma atau lain-lain prasarana kepada rakyat. 5 billion boleh menampung pelbagai kos bagi kesejahteraan rakyat jelata.

Begitu juga keutamaan menunaikan haji. Seperti yang dibincangkan oleh Dr Yusuf di ms 14, berhubung pendapat Prof Huwaidi mengenai keutamaan membela dan menolong orang Islam di Bosnia-Herzegovina adalah lebih utama daripada menunaikan fardhu haji ( semasa Bosnia ditindas Serbia dahulu.) Keutamaan membela orang Islam Bosnia ini perlu di dahulukan berbanding keutamaan haji bagi mereka yang telahpun menunaikan haji. Adalah lebih afdal menggunakan wang untuk haji tersebut bagi membantu umat islam yang ditindas di Bosnia.

Di sini "Tabung Haji" kita ada 'queue' yang panjang, menunggu giliran untuk mengerjakan haji sampai berbelas tahun menunggu. Jika ada dikalangan yang mendaftar itu mendalami 'Fiqh Keutamaan' pastinya mereka yang telah berkali-kali menunaikan haji akan dengan mudah memberikan laluan kepada mereka yang baru pertama kali mahu mengerjakan haji. Tidaklah mereka ini menunggu terlalu lama.

Gagal mendalami ilmu menyebabkan juga ramai orang berpuluhan kali mengerjakan umrah, sedangkan pada masa yang sama ramai di kalangan anak muda kita memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran, ada surau dan masjid yang dhaif perlu diperbaiki, ada kemudahan awam yang tiada peruntukan dan bermacam lagi. Mereka seronok mengerjakan ibadah untuk diri sendiri sedangkan jika wang tersebut diberikan kepada pelajar yang memerlukan, surau yang rosak, memasang kipas di masjid , pahalanya berganda dan akan berterusan apabila kita mati nanti.

Oh, di mana-mana kita boleh lihat banyak pihak gagal melihat keutamaan. Wang banyak dilabur kepada benda-benda yang kurang membawa faedah kepada orang ramai. Jika ingin berbelanja bukankah lebih baik berbelanja untuk perkara-perkara yang boleh dimanafaat oleh orang ramai daripada melakukan sesuatu yang hanya segelintir sahaja yang boleh menikmatinya.


Mmmmmm..... kita perlu banyak belajar lagi.




Thursday 21 October 2010

Busana Islam kah ini???

Islamic Fashion Festival! Biar betul. Islamik ke pon? Dedah sana , dedah sini. Yang patut kena sorok habis didedahkan. Tiada langsung ciri islamik nya..

Ini betul-betul menghina Islam. Jangan terkejut...... orang Islam sendiri yang menghina agamanya.



"Muhamad" di eja tonggang-terbalik di dada wanita ini.
Apa ni???





Luuu pikir la sendiri!!




Saturday 16 October 2010

....kita terpedaya

Antara pesanan Us. Lutfi tadi, ' .... kita sering berkata mengumpul harta untuk hari tua, namun hakikatnya yang berguna di hari tua ialah amal ibadat. Maka apa yang perlu kita buat ialah pergunakan harta yang ada untuk beribadat bagi bekalan hari tua.'

Kita sering tertipu dan terpedaya dengan sifat mazmumah kemanusiaan, lantas terdorong oleh hawa nafsu yang menyebabkan kita lupa diri. Kita benarkan diri kita dikuasai oleh pelbagai sifat jelek seperti dengki, sombong, gila pangkat, gila dunia, takbur .....

Banyak yang kita lakukan dalam ibadat kita salah kerana kita tiada ilmu. Kita hanya ikut-ikutan dan tidak belajar. Selalu kita sangka kita tahu namun yang sebenarnya adalah sebaliknya.





p.s. Beruntunglah mereka yang pernah menjadi murid kepada "Almarhum Pak Teh"


Sunday 10 October 2010

Kembali Lengang

Yeah! Setelah 3 bulan bercuti, akhirnya Aimi pulang semula untuk meneruskan pengajian. 24 jam lebih, tersangkut dan tertunda di sana-sini sebelum sampai ke destinasi. Aduhai.... Rumah sudah kembali sunyi..... tinggal kucing-kucing yang 10 ekor ni je.. Readjusting okay.

PMR pun dah sampai penghujung, routine baru pula bagi yang menduduki PMR. Dah tak ada lagi tuition, no more keluar masuk rumah sampai 3 kali sehari. Aha! kerja yang sedia menunggu ialah memotong rumput di halaman dan juga pokok-pokok di sekitaran .....

Ohh, nak cari mesin melipat baju lah.........



Monday 4 October 2010

All the best and Good Luck

To all PMR candidates:

Selamat menduduki peperiksaan PMR,
Jawab dengan tenang,
try all your best,
never give up!
Jangan lupa berdoa
memohon kepada ALLAH
Semoga beroleh kejayaan yang cemerlang.


To Luqman and friends;

Do all your best!!!
You can do it !!!

Semoga dikurniakan ALLAH
kejayaan yang membanggakan!!





Wednesday 29 September 2010

Nota ringkas

Dah lama tak menulis walaupun banyak yang nak ditulis. Banyak peristiwa berlaku. Syawal pun dah nak mengundur diri juga.
Oh! begitu cepat masa berlalu. dan tidak lama lagi musim Haji pula tiba.

Mmm... dalam baki-baki akhir Syawal ini, bebudak tu sebuk nak datang beraya. Alahai, raya mood pun dah habis, lagi pulak ada banyak perkara lain yang perlu diberesi dalam tempuh yang sama. Ada yang nak periksa dan ada yang nak bersiap balik.

PMR is just around the corner, minggu depan je. Calon-calon semua dah bersiap sedia ke? Si Luqman tu ..... Mathematics , Insyallah . Manakala subjek yang lain-lain diharapkan boleh juga dicapai sepertimana pencapaian Mathematics.

Oh!! Speaking MUET pun is coming soon. Second week of October. As understood, I'm not involved ( hanky-panky...... dah jemu dah pun) Bebudak semua pasti kan awak semua bercakap ye.

Khamis ada bacaan Yaasin dan solat hajat untuk 3 major exams. Semoga semua calon lulus dengan cemerlang dan membanggakan ibubapa dan keluarga masing-masing. Insyaallah. Ameen.



Saturday 18 September 2010

Raya Notes



Salam Eidul Fitri to all. Maaf zahir dan batin. Not too late I guess. Al maklum, sebuk di sana dan sebuk di sini, tak sempat nak menulis.

Many things happened in these past few weeks and days. Mmm... nak cerita semua tak larat lah pulak. Well. raya tahun ni meriahlah rasanya. I performed my solat idul fitri kat depan rumah je, 'cos PAKAT tahun ni organised solat hari raya kat situ. Unexpected betul, ramai turned up, sampai the nearby surau where they normally perform the jamaah lengang....

My house jadi centre for family gathering, Alhamdulillah. seronok sangat.

Cuti hari raya seminggu, adoii , packed. Either kita pergi ke sana dan kesini or kita menerima tetamu. Masak-masak or bila dah tak sempat kita ke kedai je.... he,he,he.

Oh.... telefon meragam pula sehingga ada sahabat lama yang bercadang nak singgah raya gagal berhubung.. Kena tukar kad baru lah pulak.

Fasal mercun; I can't stand the sound, blasting like anything, memecahkan telinga. Dah kaya sangat,buang duit sehingga mengganggu ketenteraman orang. How I wish pada masa tu budak yang main dan membaling mercun tu tercedera sana-sini, kot baru nak sedar dan serik. Selamat lah pulak tak berlaku apa-apa, tu yang makin galak membaling mercun bola yang bunyinya macam 'bom' tu.

Yang sedih, hari raya kedua, ada kematian, anak jiran. Kemalangan kereta a few weeks before raya, meninggalkan anak-anak yang masih kecil.

Ha,ha , selepas seminggu raya, back to school on Friday. Lengang..... bebudak masih raya mood...and teachers tooo he,he,he...

Selamat Hari Malaysia juga....... not too late juga kan...

Monday 6 September 2010

Salah siapa??

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita mengucapkan selamat berjumpa lagi dengan Ramadhan. Sedih tentunya kerana belum tentu kita akan dapat berjumpa dengannya lagi tahun hadapan.

Semalam seusai tarawih dan tazkirah, sempat beroti canai bersama my other half. Mmm lama dah tak pekena roti canai ni... Jumpa beberapa kenalan yang juga baru pulang dari tarawih dan tazkirah.

Sedang enak menikmati hidangan, tiba-tiba datang satu keluarga yang agak besar juga, ada dua atau tiga unit kecil di dalamnya. Memang orang tempatan tetapi yang jelas mereka adalah perantau yang pulang untuk berhari raya. Isunya ialah....... aduhai tak larat nak tengok salah seorang dari ahli keluarga tersebut yang nyata masih muda, pakaian yang tentunya tidak menutup aurat, adoiii ala-ala baju tidur pula. Berbahasa inggeris..... , ohh!! kerana suaminya bukan Melayu, dan berseluar pendek lagi, alahai..... Kelihatan keluarga itu berbangga sekali dengan apa yang sedang berlaku dan yang mereka bawa. Agak menonjol sekali mereka di warung tersebut....

Siapakah yang bersalah jika kita gagal mendidik saudara baru Islam kita ke jalan yang betul?? Sepatutnya yang lahir secara baka di dalam Islam dapat memberikan tunjuk ajar kepada saudara barunya , tetapi sebaliknya dia pulak yang terlebih ikut..... Bagaimana dengan anak-anaknya nanti......?

Oh, teringat Kak Yasmin ( orang Singapura) yang berkahwin dengan abang Yusuf , kalau tak silap (a Kiwi), di mana akhirnya, bukan Kak Yasmin yang menarik saudara baru ini kepada cara hidup Islam tetapi sebaliknya saudara baru inilah yang berperanan menyedarkan beliau tentang cara hidup Islam dan mendalami ajarannya..... Alangkah bahagianya keluarga mereka....


Sunday 5 September 2010

Merdeka, Lailatul Qadar dan Idil Fitri

Sambutan Kemerdekaan ke 53 telah berlangsung dan masih lagi berjalan. Namun tahun ini kelihatan jelas hambar. Kenapa ye?? Kerana bulan puasa? Ye ke pon? Rasanya telah banyak kali berlaku sambutan kemerdekaan di bulan Ramadhan tetapi kemeriahan tetap ada. Di mana silapnya?? Siapa yang silap? Orang kah? Sistem kah, suasanakah?atau apa? Boleh difikirkan bagi yang mahu berfikir.


Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi berbakinya Ramadhan tahun ini. Lailatul Qadar ? Ada tiga malam lagi untuk berusaha menunggu ketibaannya. Menunggu?? Kata Ustaz Lutffi kita kena tunggu bukan mencari, kalau nak cari dimana ?? Persiapan, kata Ustaz bermula dari pertengahan malam, pukul satu hingga pukul tiga pagi. Selepas tidur sebentar , mulakan penantian dengan mandi taubat, di ikuti solat taubat , solat tahajud, solat lailatul Qadar dan terus menanti dengan zikrullah, bermunajat memohon taqwa dan iman. Antara tandanya, maghribnya ada hujan renyai-renyai........ mari kita tunggu dan sekiranya kita termasuk dalam golongan terpilih mungkin berkesempatan bertemunya.

Panas tentang iklan hari raya TV3 yang sudah dicemari unsur-unsur asing. Memang dah lama tidak menonton TV secara serius , satu hari setengah jam pun tak sampai menonton TV ni. Tetapi kerana kontoversi iklan ni nak cubalah tengok. Apapun, berdasarkan apa yang telah di baca dan tengok melalui You Tube, kita hairan kenapa pihak berkenaan tidak sensitif langsung. Jika dulu dalam 'Juara Lagu' elemen Illuminati sangat jelas,( itu hiburan, padanlah dengan mereka yang terlibat dalam industri tu, memang suka pun pada kemungkaran.) Ini perayaan agama, sambutan Idul fitri, perayaan kemenangan melawan nafsu. Bagaiman boleh sampai terjadi demikian. Inilah akibatnya apabila agama diambil mudah dan boleh disesuaikan mengikut kepentingan dan keseronokan sehingga menjatuhkan kedudukannya sehabis bawah dan dipersendakan.

Bagi yang tidak mahu berfikir memang tidak nampak celanya iklan itu dan ianya satu usaha kreatif bagi mereka dan pada mereka ia bagus. Namun bagi yang mahu berfikir serta dapat melihat jarum halus yang sedang berjalan untuk memusnahkan umat Islam , mereka pasti dapat melihat kemungkaran dan kejahatan di sebalik penghasilan iklan itu.

Tidak semua mampu melihat dengan mata hati, kebanyakan hanya mampu melihat dengan mata kasar dan itu pun masih ramai yang gagal untuk melihat secara keseluruhan.

Selamat beribadat dan menggunakan baki Ramadhan yang tinggal sepenuhnya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang mensyukuri nikmat.



Tuesday 31 August 2010

Salam Kemerdekaan!!

31 Ogos datang lagi,
Kali ke 53
mengenang turunnya 'Union Jack."

Dulu bendera mereka gah berkibar
dulu mereka gah berkuasa
mereka adalah tuan, mereka adalah penguasa,
mereka buat undang-undang,
mereka buat keputusan;
segala-galanya mereka,
kita hamba di bumi sendiri.

1957, 53 tahun berlalu,
kita sudah lebih separuh abad merdeka,
kita sudah menjadi tuan di bumi sendiri,
kuasa di tangan kita kini,
mereka tiada hak campur-tangan
kita berkuasa menentukan segalanya.
Kita sudah merdeka,
bukan baru tapi sudah lama,
53 tahun bukan sekejap
tapi jangka usia yang mematangkan manusia.

Namun,
selama itu,
sebenarnya merdekakah kita???
Apa benar penjajah sudah pergi meninggalkan kita?
Sudahkah kita bebas memilih??
sudahkah minda kita terlepas dari belenggu mereka??
bebaskah kita dari undang-undang mereka??
bebaskah kita sebenarnya
untuk memilih sesuatu yang tidak ada 'bau' mereka?
Merdekakah kita sebenarnya??

Merdekakah kita?
bila Bahasa kita hanya layak berstatus kelas dua,
bila sivil mengatasi syariah,
bila Lord Reid mengatasi alquran,
bila seorang ayah atau seorang ibu
boleh dibawa dan ditahan tanpa bicara,
bila kita sendiri
merempat dinegeri sendiri
sedang orang lain mengaut untung berlipat ganda,
bila yang susah terus menderita,
yang kaya berpangkat dan berkuasa
terus-terusan mengumpul harta
bersama kroni dan keluarga.
yang kecil, miskin, terus terhimpit
kekal begitu atas nama pengikut yang setia.

Merdekakah kita sebenarnya?

Eh.. apa erti kemerdekaan sebenarnya ye????



Saturday 28 August 2010

Catatan lagi....

Hari ini sudah masuk 18 Ramadhan.Begitu cepat masa berlalu dan Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita. Namun, kita masih lagi berpeluang menambah amalan dan ibadat serta memohon keampunan seperti yang dijanjikan bahawa pertengahan Ramadhan adalah pengampunan.

Malam tadi ada kuliah Us. Kamal Asha'ari dan masjid seperti biasa penuh dengan jamaah. Macam selalunya kuliah Ustaz seronok dan penuh input dan kita tidak mengantuk serta terasa masa terlalu cepat berlalu...

Ramai yang melihat Islam dalam kepompong yang sempit, maka sebab itulah isu-isu kecil diperbesarkan oleh media dengan tujuan politik. Islam dianalisiskan mengikut kehendak dan kepentingan.

Maka sebab itu , riuh-rendah satu negara membicarakan tentang Tok Khatib berdoa minta Allah beri hidayah kepada LGE. Tidak sejuk lagi kes doa, datang pula yang baru, bukan Islam masuk surau dah tu tak bertudung pulak. Alahai...... yang sebuk menegur yang bukan Islam tak pakai tudung tu siaaapa??? Kumpulan ni pun tak jaga aurat mereka, jambul keluar sana, keluar sini, masa masuk mesjid je bertudungnya, masa lain..... warna-warni nampak.

Kenapa mesti masjid itu dijadikan kawasan larangan. Bagaimana mahu menarik ramai yang bukan Islam untuk mengenali Islam apabila orang islam sendiri mempunyai persepsi musuh terhadap yang bukan Islam. Yang wajib kita perangi dan anggap musuh ialah kafir yang memerangi Islam.....

Berdoa untuk orang bukan Islam supaya diberi hidayah, apa masalahnya? Kan ke pernah dibuat oleh Nabi Muhammad saw sehingga Islamnya Umar al Khattab. Buat-buat tak tahu pulak atau pun Agamawan Besar itu terlupa sirah kot ???

Selamat Berbuka puasa, malam ini malam ke 19 Ramadhan dan jika Ramadhan itu 29 hari maka malam ini bermulalah 10 malam terakhir........



Tuesday 24 August 2010

Gambar untuk dikongsi

Pagi tadi 23 Ogos kira-kira 7.30 pagi, sewaktu perhimpunan pagi,
di langit yang cerah awan membentuk kalimah ALLAH
besar dan sangat jelas sekali, namun agak lambat mengambil imejnya.

Imej yang sudah di'cropped'

Dari jauh....

Ini gambar yang mula , awan masih berkumpul dengan cantik sekali.



Subhanallah...... ramai yang ditanya tidak berkesempatan melihat imej tersebut, hanya kawan di kiri dan kanan yang telah ditunjukkan imej tersebut sedar mengenai formation tersebut. Alhamdulillah, telah diberi kesempatan untuk menikmatinya kira-kira 10 minit.









Sunday 22 August 2010

Catatan 2

1. Akhirnya petugas banci datang juga. Ingat kot tak datang dah. Kunjungan di hari akhir . Mmm ....

2. Masih pusing dengan perbicaraan terpilih. Jurinya, sama namun tidak faham kenapa ada perbezaan dalam membuat keputusan. ( Ada favoritism ke hape ? )

3. Bagaimana untuk memecahkan ' kitaran ganas kemiskinan ' jika kita yang berkuasa tidak berusaha untuk membantu mereka yang di dalam kitaran itu untuk keluar. Yang punya kuasa hanya mampu berkata , "Itu kehendak syarat. Tidak boleh di terima kerana tidak menepati syarat."

Eh, syarat tu kan manusia yang buat. Takkan lah tidak ada budi bicara sedikit pun bagi membantu untuk merubah kehidupan insan ini yang mungkin boleh terkeluar dari kitaran kemiskinannnya. Dia tidak mampu memenuhi syarat lantaran kemiskinannya, rumahnya yang jauh untuk membolehkan dia mengulang-kaji dengan baik, lantas itu sebab keputusannya tidak begitu baik. Takkan itu pun tidak boleh fikir.( Eh, mak dia keluar menoreh pukul 2 pagi tau.... )

Hudud yang Allah wajibkan dalam Quran pun manusia tidak mahu terima dan tolak serta ubah-suai, kalau setakat syarat sendiri buat.....( dalam Islam apabila meletakkan sesuatu pada tempat yang salah adalah zalim) Alahai .... Lantaklah kau Labu .....

4. Dalam kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini sedih mendengar masih ada lagi yang dihimpit kemiskinan dengan pendapatan RM350 sebulan. Punya 4 anak yang masih bersekolah. Ibu tunggal pula. Adoi!! Bagaimana mereka bisa lepas keluar dari kitaran ini????? Mana Dato', Datuk seri, Tan Sri semua, mana YB, mana, mana??? yang kaya akan terus kaya, yang miskin ...........?




Wednesday 18 August 2010

Catatan 1

1. Peringatan:

3 tingkat puasa :
1. Puasa Perut
2. Puasa mata,mulut, telinga, tangan
3. Puasa hati.

Melaksanakan tingkat 1 pun menghdapai masalah dengan adanya bazar ramadhan dimana-mana, asyik ingat nak makan masa berbuka, selalunya keinginan makan melebihi tahap semasa bukan bulan puasa pun. Langsung tidak mampu mengawal ingatan terhadap makanan. Ada bermacam lauk-pauk dan hidangan untuk dipilih.(sampai berlaku pembaziran) Nafsu menguasai diri. Kita gagal mengawal perut serta keinginan nafsu , maka ramai yang kecundang untuk mencapai tingkat ini.( including me...)

Apabila tingkat 1 pun kita sudah goyah dan gagal serta lemah , tentunya tingkat ke 2 bertambah berat. Ke bazar Ramadhan untuk memenuhi tuntutan perut, pastinya puasa mata menghadapi masalah. Banyak perkara mungkar yang dilihat. Mereka yang mendedahkan aurat tentunya ramai. Yang berpakaian tetapi bertelanjang pun ramai juga. Yang berseluar pendek, yang ketat dan macam-macam lagi. Di rumah yang menonton tv dari pagi hingga ke pagi esoknya., melihat pelbagai maksiat dan kemungkaran yang disajikan. Itu mata. Mulut pula tentunya akan terkeluar juga pelbagai perkataan-perkataan, senda-gurau, kenyataan yang tidak wajar. Ada umpatan, ada sindiran dan lain-lain.Telinga pun sama. Musik dan dan nyanyian yang melekakan, dengar umpatan dan macam-macam. Banyak lagho dan puasanya .........? ( Oh, aku di mana????? )

Bila 1 dan 2 pun gagal bagaimana mencapai puasa hati???? ( Puasa para Nabi dan golongan muttaqin)


2. Takziah untuk keluarga Ustaz Bakar Hussin atas kepulangan isteri tercinta, Ustazah Hajah Rafeah ke pangkuan Allah pada 7 Ramadhan 1431 H. Dari Nya kita datang dan kepadaNYa kita kembali. Mengenali Allahyarham hanya seketika. Sempat bertemu sekali namun beliau memang seorang insan yang baik, mesra, ramah dan mudah didekati. Baru kenal tetapi macam sudah kenal lama.

Sempat hadir semasa pengkebumian. Pastinya Cibah, Mariam dan yang lain-lain tabah menghadapi ujian ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Al-Fatihah.



Sunday 15 August 2010

Gambar untuk dikongsi

Jamaah di Masjid Ridwaniah dari ruang solat Muslimah, selalu begini tetapi di bulan Ramadhan lagi ramai.

2 ekor singa yang menyambut ibu bapa di kem PLKN semasa CNY dulu ( gambar lama)


Nun di hujung sana pasangan remaja Melayu... yang memang dah me....layuu..


Gambar mereka dari dekat (tp tidak jelas) identiti Islam ? tidak ada langsung!!

Cara memegang pen yang unik oleh Paridah...hah.hah

Yang ini pula oleh...??


Monday 9 August 2010

Ahlan wa Sahlan Ramadhan Kareem.


Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah, syukur kerana kita sempat bertemunya lagi untuk kesekian kali. Bulan yang menjanjikan keberkatan dan keampunan serta rahmat dari Allah dan ada satu malam di dalamnya yang lebih baik dari seribu bulan. Mampukah kita menemuinya kali ini?

Apapun yours truly berkesempatan mendengar kuliah maya bersama seorang sahabat dan antara ingatan yang boleh dikongsi:

Buatlah 5 perkara untuk mendapatkan 5 perkara :

1. Lakukan Sunat Dhuha supaya dapat mengawal diri dari mudah melakukan dosa dan meninggalkannya.

2. Lakukan sembahyang malam supaya boleh mendapat kubur yang terang.

3. Rajin-rajinlah membaca al-quran agar mudah menjawab soalan oleh malaikat di dalam kubur.

4. Rajin-rajinlah berpuasa sunat dan memberi sedeqah supaya mendapat kemudahan semasa melalui titian 'siratul mustaqim' di akhirat nanti.

5. Sering bersunyian dengan Allah dan beribadat moga beroleh perlindungan dan dapat bernaung di bawah Arash Allah di hari qiamat.

Ingatan untuk diri sendiri dan semua.

Sempena kedatangan Ramadhan yang Mubarak ini, marilah kita terus berusaha memperbaiki amalan dan menambah ibadat agar lebih mantap dan moga-moga diterima oleh Allah serta diberikan keredhaan..

Sesungguhnya Ramadhan pasti akan membawa pelbagai keberkatan untuk kita semua.

Ahlan..ahlan wa sahlan ya Ramadhan Kareem.



ps: Kata pak Ustaz, dengan kedatangan Ramadhan eloklah kita bermaafan agar ibadat kita diterima Allah. Jadi untuk semua, yours truly mohon maaf jika ada yang terkena sana dan sini dengan tulisan di sini.



Saturday 7 August 2010

Bulan Ogos

Mmm...... dah masuk bulan lapan ni, sana sini dengar cerita tentang merdeka. Sana cerita tentang perjuangan sebelum merdeka, di situ cerita jerit-perih orang dulu menghadapi kerenah askar Jepun, kat sinun pula cerita bintang tiga, di sini pula cerita usaha-usaha akhir mendapatkan kemerdekaan dari orang putih di London nun.


Pendek cerita semuanya mengimbau sejarah. Semuanya menghargai kemerdekaan yang dikecapi. semuanya membandingkan zaman sebelum dan selepas kemerdekaan. Tentunya juga ramai yang bercakap mengenai nasionalisma, semangat kebangsaan, semangat bangsa....... bangsa begini dan bangsa begitu. Bangga dan emosi sekali bila bercakap mengenai bangsa ni. Namun.....agak kureng di dengar bercakap dari sudut agama. Hmmmm.....


Ohhhh...cerita makan ubi kayu di zaman jepun, tentang bintang tiga yang ganas dan kejam itu dan macam-macam lagi yang memang telah semadi di lipatan sejarah.

Namun, siapakah pencetus revolusi kemerdekaan ini??? Adakah mereka yng di warwarkan itu sebenarnya pencetus kearah kemerdekaan ini? Ramai yang tidak jelas mengenai perkara ini. Sumbangan golongan yang sebenar ini seolah-olah terpadam dari buku sejarah. Mereka jarang diingati walaupun sebenarnya mereka inilah yang sebenarnya sepatut dihargai, bukan mereka yang seperti ''lembu punya susu, sapi yang dapat nama"

Berapa orangkah yang mengingati sumbangan Kaum Muda,Sheikh Abdul Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Dr Burhanuddin Helmy dan ramai lagi tokoh lain yang menjadi pembawa kesedaran hasil dari pengajian mereka di timur tengah.

Kita ada juga Ibrahim Yaakob, Ishak Hj Muhammad, Ahmad Bostamam yang menggunakan wadah kewartawanan dalam menyedarkan rakyat untuk bangkit.

Mmmmmm namun, apabila minda tidak merdeka.... masih terjajah, maka 'sapilah yang mendapat nama walaupun lembu yang punya susu.


Nak sambung lagi le.......


Tuesday 3 August 2010

Fiqh Keutamaan

Kata Dr Yusuf Al Qardawi dalam bukunya 'Fiqh Keutamaan" :

Rapuh sekali asas keutamaan penilaian umat, antaranya;

Masalah keseniaan dan hiburan lebih diutamakan daripada urusan berkenaan ilmu pengetahuan dan pendidikan.Pendidikan bagi golongan muda perhatian lebih dititikberatkan kepada riadah badan daripada riadah akal fikiran. Bagi menjaga golongan muda penumpuan kepada pembinaan badan dan pembangunan fizikal sahaja. ( ms 9)

Akhbar, majalah televisyen dan radio sentiasa membincangkan ragam hidup artis dan para seniman dengan pengalaman hidup dan kejayaan mereka dalam kerjaya keseniaan dan perfileman. Gambar dan cerita artis sentiasa menghiasi lembaran. ( ms 10)

... bidang pendidikan, pengajaran kesihatan dan perkhidmatan awam kurang mendapat perhatian dan peruntukan sewajarnya. Apabila ada yang memohon untuk tambahan peruntukan, mereka akan kata tidak cukup wang. ( ms 10)

Begitu juga rapuhnya Keutamaan Penilaian Cendekiawan Muslimin. :

Mereka yang terpelajar juga tidak memiliki pengertian yang cukup dan belum faham fiqh keutamaan secara benar.
Mereka yang tidak memiliki pengetahuan agama yang cukup mencampuradukkan antara beberapa amalan dan perbuatan sehingga tidak nampak pembatasan yang jelas di antanya. Sering terjadi penyelewengan dan berlebih-lebihan dalam satu sisi dan pada sudut lain sangat nampak kekurangan. (ms 11)



Ohhh..... bagus sekali Buku ini, tidak sabar untuk mengikuti kuliah seterusnya Ramadhan ini..



Wednesday 28 July 2010

Perpaduan

Tak habis-habis isu perpaduan ni.

Yang satu puak tu, tak faham-faham ke, orang dah tak hendak. Pinggan tak retak, nasi pun tak dingin. Kalau orang dah tak hendak tu, faham-faham lah. Ini tak habis-habis, hidung tak mancung, pipi yang tersorong-sorong.

Nawaitu tu kena jelas kan. Apa nawaitu nya? Kalau setakat untuk perjuangan dunia , terbatas hanya untuk kesejahteraan duniawi je, elok le cari orang lain.

Yang tidak masuk akal ialah pencetus semula isu ini selepas ianya dah senyap dan sejuk. Agamawan yang memperjuangkan assobiah, apa ke he nye ni?
Ish..ish..ish...ish...

Alahai... takkanlah mahu dipatuk lagi dalam lubang yang sama.



Wednesday 21 July 2010

Sampai bile?

Mmm... sampai bila lah agaknya?
Tak fahamlah!!
Kata pandai sangat mengurusi pelbagai perkara,

Ni yang asyik naik je
harga benda-benda ni
apa ke fasalnya?

Kata tak ada siapa lagi
yang pandai urus-tadbir sana-sini
Kalau pandai takkan le
sempit hidup jadinya
bagi yang memang sudah sedia sempit.
Yang lain pun hidup
rasa terhimpit
Sana-sini kena berduit.

Alahai, kesian...

Sudah tidak pandai mengurus;
sudah diberi lebih dari
separuh abad dah
Maka, eloklah bagi pada
mereka yang lebih
berupaya mengurus,
yang lebih telus,
lebih terurus.

Tiada siapa yang nanti menikus-menikus,
tiada yang bertukar peranan isteri dan suami
Ish.ish,ish....... mengarut sungguh,
Macam tu pun
boleh ada....

Kalau tidak takut kepada
Hari Pembalasan
Hah! inilah jadinya.
Hak orang jadi hak kita,
lantakle orang susah
janji aku kaya,
Peduli apa yang orang kata
janji aku boleh pusing dunia.
Barang kubeli penuh berkereta.

Mmmmm... yang bersubahat
mengiakan dan membenarkan
meletakkan dan merestunya
selama-lamanya....
tunggu.........
Mahkamah Rabbul Jalil ada..





Sunday 18 July 2010

Kemanisan Iman

Jika kita dapat melakukan 3 perkara ini, maka kita akan dapat merasai akan kemanisan iman itu;

1. Mengasihi Allah dan RasulNya mengatasi kasih kepada yang lain, ( Anak, isteri,suami, keluarga, harta, pangkat, kedudukan dll)

2. Jika menyintai sesama manusia hanya kerana Allah. ( Bukan kerana nama, pangkat, gelaran, kemewahan dll )

3. Bencinya kepada kekufuran sebagaimana ia benci ia untuk masuk ke neraka. ( benci juga kepada apa yang boleh membawa kepada kekufuran seperti arak , judi, zina, riba' dll )


Hadith Rasulullah.


Wednesday 14 July 2010

Tak Faham.

Mmmmm tak faham, ramai yang cuba sendiri-sendiri membuat tafsiran ayat al quran.


Contohnya,


Al Baqarah ayat 30 : Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Khalifah mesti bertugas di tengah kelompok masyarakat besar yang bertamadun. Jelas Adam bukan manusia pertama dan bukan manusia primitif.


Maka berbincanglah mereka di laman sosial membicarakan mengenai kemungkinan Adam bukan manusia pertama dan masing-masing membawa hujah dan teori serta hukum akalnya.

Kata Pak Ustaz , menafsir al quran memerlukan penelitian, perlu mahir Bahasa Arab kerana bahasa al quran itu ialah Bahasa Arab tinggi yang mempunyai makna yang berlapis-lapis. Ia adalah wahyu dan jika hanya menggunakan hukum akal ,tafsiran boleh membawa maksud lain.

Ada ayat di satu surah akan berkait dengan ayat lain dalam surah yang lain pula untuk menjelaskan lagi maksud dan kefahaman satu-satu ayat . Tidak seperti apa yang cuba difahami oleh pemberi pendapat di atas tu. Terdapat pelbagai kisah dan cerita di dalam al quran, perintah dan penerangan.

Malah ada yang melihat alquran sebagai 'karya agung'. Eh, mana mungkin menyamakan al quran sebagai karya, dah seolah-olah macam hasil Shakespeare, Elliot, Emerson dll pulak. Ia adalah petunjuk dari Allah Pencipta. Bukan karya.

Begitulah apabila kail panjang sejengkal, lautan dalam hendak diduga. Ilmu wahyu perlukan guru dan penelitian dan tidak lah sewenang-wenangnya boleh dibuat tafsiran hanya dengan menggunakan akal sahaja. Alquran tidak mungkin boleh dibincangkan dengan begitu sahaja tanpa membuat rujukan hadith dan sebagainya.


ps..... dah aku pula yang dikatakan menggunakan hukum aqal, sedangkan apa yang ku katakan adalah apa yang ku pelajari dari kelas tafsir ku. ikut suka dia lah....