Thursday 25 June 2015

Salam Ramadhan ......walaupun agak terlewat


Salam Ramadhan. Rasanya masih belum terlambatkan untuk mengucapkannya.
Lama sudah tidak mencatat walaupun memang banyak yang ingin dicatatkan.
Sudah seminggu kita semua menjalani ibadah puasa , moga Allah menerima ibadah dan doa kita sepanjang Ramadhan ini.

Mengimbau Ramadhan beberapa tahun yang lalu, oh, masa sungguh pantas berlari. Ramadhan 2009 , anakanda saya ke Mesir bersama 2 lagi rakan untuk mencari ilmu. Tika itu Ramadhan baru sahaja bermula. Demi niat untuk mendapatkan ilmu, redholah walaupun mereka memang masih muda lagi.

Kini pengajian mereka hampir tamat dan tentunya mereka dewasa di perantauan. Banyak yang telah mereka lalui dan pastinya pengalaman itu mematangkan mereka. Moga sekembalinya mereka nanti dapat memberi sumbangan kepada agama , bangsa dan negara.

Anak-anak sekalian manafaatkan waktu mu di bumi anbiya itu sepenuhnya. Penuhi dadamu dengan ilmu dunia dan akhirat. Bukan semua beroleh kesempatan itu, jadi " be wise"



Saturday 16 May 2015

Memperingati Hari NAKBAH

Sebenarnya sudah sehari terlewat ......





NAKBAH bermaksud MALAPETAKA atau BENCANA BESAR. Manakala Nakbah Palestin merujuk kepada pengisytiharan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara rasminya pada 15hb Mei 1948.  Ia merujuk kepada pengisytiharan Negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan).
Hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari keganasan oleh beberapa kumpulan bersenjata Yahudi Zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampung halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Peristiwa ini berlaku selepas terlaksananya pendudukan dan penjajahan haram oleh rejim Yahudi Zionis ke atas tanah dan penduduk asal Palestin secara sistematik dengan bantuan British dan PBB.
APA KESAN AWAL UTAMA NAKBAH ?
  1. Nakbah menyebabkan hilangnya negara Palestin daripada peta dunia antarabangsa.
  2.  Lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (800 ribu orang daripada 1.4 juta) diusir ke luar negara dan 30 ribu lagi diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.
  3. . 478 daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948 telah dihancurkan yang melibatkan lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.
APAKAH REALITINYA SETELAH 67 TAHUN NAKBAH?

 1. Penjajahan dan penindasan yang berterusan sehingga mereka berjaya merampas lebih daripada 90% dari keseluruhan bumi Palestin.

2. Melakukan penangkapan dan pemenjaraan orang-orang Palestin yang tidak bersalah sehingga lebih daripada 12 ribu di kalangan mereka kini merengkok di dalam penjara Israel.

3. Sekatan ekonomi yang dirancang kemas sehingga orang-orang Palestin tersepit, menganggur dan dibelenggu kemiskinan serta kebuluran.

4. Anak-anak Palestin yang telah dinafikan hak untuk belajar sehinggakan jumlah mereka yang sempat ke pengajian menengah adalah dari peratusan yang sangat kecil.

5. Rejim Zionis tanpa malu dan segan telah membina tembok pemisah gergasi yang terpanjang di dunia yang menyekat penghidupan rakyat Palestin serta menjadikan Palestin sebagai penjara yang terbesar di dunia.

6. Seramai 6.45 juta di kalangan rakyat Palestin adalah pelarian yang hidup dengan penuh kedaifan sejak 62 tahun yang lalu. Inilah kes pelarian yang paling lama dan perit di dalam sejarah peradaban dunia.

7. Pembunuhan dan penyiksaan yang berterusan terutamanya di Gaza yang merupakan krisis kemanusiaan terhebat di abad ini.

8. Peningkatan serangan ke atas al-Quds oleh ekstremis Zionis yang mencabul kehormatan dan kesucian al-Quds serta projek pembinaan kuil Yahudi di perkarangan Al-Aqsa.


Banyakkan perayaan disambut pada bulan Mei ini yang bermula dengan Hari Pekerja pada 1 Mei. Namun tidak ramai yang cakna dengan NAKBAH. Malapetaka besar yang menghimpit  orang Palestin hingga ke hari ini.

Mari kita berkongsi rasa dan simpati, menyedari dan ambil erti apa yang telah, sedang dan akan berlaku.
Semampunya kita cuba  apa terdaya, walau cuma hanya dengan iringan doa , moga saudara kita di sana terus kental dengan semangat juang mempertahankan HAQ dan diberi kemenangan oleh ALLAH.



Wednesday 28 January 2015

The Masks 2


Tiba-tiba teringat pula kepada "topeng". Yours Truly pernah menulis tentang ini dahulu dalam   The Masks

Bukan mengulang cerita tetapi sesungguhnya realiti pemakaian topeng ini sangat jelas boleh dilihat di kalangan masyarakat kita. Tidak kiralah di kalangan mereka yang makan gaji ke, kerja sendiri ke, yang liberal, yang ektremis yang signifikan , tidak signifikan, kecil , besar, tua mahu pon muda.

Lihat saja di sekeliling kita, agak-agak berapa peratuskah yang tidak memakai topeng ini. Tidak lama dahulu kita ada mendengar dan membaca tentang seorang tokoh politik yang  mempertikaikan pakaian seorang mp pembangkang  yang tidak beragama Islam ke parlimen . Konon katanya  tidak sopan. Namun realitinya isteri penegur sendiri adalah lebih teruk pakaiannya jika dibandingkan dengan mp tersebut.Dah tu mengaku Islam pula. Nampak topeng yang dipakainya?

Banyak lagi contoh boleh dilihat.Kes sepasang suami isteri yang didapati mendera anak (baca rotan) di Sweden. Ramailah yang menyokong tindakan merotan tersebut sebagai tujuan mendidik. Namun realitinya siapakah kini  yang beria-ria  membawa akta rotan ini untuk diluluskan. Topeng yang sekejap boleh di pakai  dibuka dan dipakai mengikut kesesuaian.

Ada juga makhluk yang  beria menggunakan topeng agama bagi menjayakan misi  kepentingan diri sendiri. Ohhhh, ini memang sangat mengecewakan. Dia akan melaksana segalanya konon demi agama ,seperti dianjur agama dan sebagainya, tetapi realitinya, kerja buat dia , tutur bicara dia, tingkahlaku dia  tidak langsung melambangkan orang yang benar-benar  mempertahankan agama.Sebenarnya hanya untuk kepentingan diri sahaja. Topeng lagikan.

Sungguh hebat permainan pemakai-pemakai topeng ini. Pastinya ramai khalayak tersirna dengan fatamorgana topeng ini. Malang sungguhlah  bagi yang tertipu....

 
Yaa.... hanya Jauharilah yang mengenal Manikam........


Tuesday 27 January 2015

2015 : janji manis @ sebaliknya.

2015

Sudah masuk Gregorian 2015 dan sudah pon menghampiri sepurnama. Terlalu banyak sawang dah di blog ni. Hati memang nak aktif menulis alahai tetapi macam biasale ada je yang menghalang. Apapon masih belum terlambat nak ucap kat kawan-kawan di luar tu Selamat Tahun Baru Masihi 2015.

Mmmm... Ye ke pon selamat ye tak. Skeptikal sikit. Sebelum datang tahun baru ni pelbagai musibah melanda dan datangnya tahun baru pon suasana masih pilu.

Bagi kita itu sudah takdir dan perlu redho dengan ujian. Tentunya ujian itu dapat memantapkan iman kita. InsyaAllah.Bila kita diuji ,pastinya kita akan mengadu kepada Pencipta kita. Hanya kepadaNyalah tempat kita berserah dan bergantung harap.

Yours Truly juga menghadapi ujian dan hanya kepada Allah tempat mengadu. Apalah sangat ujian yang YT hadapi berbanding dengan ujian yang dihadapi oleh saudara kita di pantai timur. Namun badai ujian ini YT rasakan seolah-olah sejarah lalu yang kembali berulang. YT percaya bahawa  ujian itu juga petanda  yang Allah menyayangi hambaNya.

Tak gitu.