Thursday 26 March 2009

Gembira dan sedih.

Hari ni berlangsung Majlis Tilawah dan Mahrajan Kesenian Islam bagi sekolah-sekolah zon A. Sebuknya bermula dari pagi hingga ke pukul dua lebih. Apa pun majlis berjalan dengan jayanya dan rasa-rasanya Madrasah Idrisiah Bukit Chandan mendapat tempat di hampir semua kategori. Bagusnya mereka. Seronok melihat mereka menaiki pentas menerima hadiah. Semoga bakat mereka dalam berpidato, bertilawah, hafazan dan berbagai lagi diteruskan apabila telah keluar dari alam persekolahan dan dipraktikkan.Generasi muda inilah nanti yang bakal mewarisi negara. Mereka perlu ilmu ini semua.

Namun dalam kesebukan , kami bersedih apabila kehilangan seorang daripada pelajar kami yang pergi menghadap Ilahi selepas terlibat dalam kemalangan jalanraya. Cuaca memang dari awal pagi mendung dan hujan renyai sehingga tengahari seolah-olah turut sama bersedih dengan pemergian ini .

Bercakap mengenai kematian, kata Pak Ustaz , kita tidak boleh meratap dan meraung di atas kematian. Tetapi tentunya kita rasa bersedih di atas kehilangan / kematian itu. Mengapa kita bersedih ye? Rasionalnya, kita telah kehilangan orang yang kita sayangi, yang hampir dengan kita, waris, ada hubungan darah dan macam-macam lagi. Kita tidak dapat berjumpa dengannya lagi selepas itu.

Saya sangat terkesan apabila Pak Ustaz berkata kita sedih sebab kita tidak akan dapat berjumpa dengan mereka lagi , walaupun di akhirat nanti. Ya...bayangkan itulah kali terakhir kita melihat mereka. Di akhirat nanti dengan manusia yang ramainya , masyaallah, nafsu-nafsi belaka , bolehke berjumpa? Masing-masing dengan hal masing-masing , hanya mereka yang benar-benar dapat melepasi mahkamah Allah akan menjadi orang-orang yang berjaya pada hari itu. Suami dan isteri, anak-anak dan ibu-bapa , saudara mara, kawan-kawan belum tentu berpeluang untuk berjumpa, kerana masing-masing akan melalui pemeriksaan yang tidak ada apa yang dapat membantunya pada hari itu kecuali kasih sayang dan keredhaan Allah. Silap-silap anak yang disayangi, isteri /suami yang disayangi yang akan membawa ke neraka ( ada suami yang tidak membenarkan isteri menutup aurat, ada isteri yang melarang suami berjumpa ibunya , ada anak yang tidak disuruh menutup aurat malah disuruh menyanyi lagi dan macam-macam lagi semuanya akan dipertanggungjawabkan ) Maka mungkinkah kita akan dapat berjumpa dengan mereka yang kita sayangi ini. Maha Suci Allah sahaja yang dapat kita pohonkan keizinanNya supaya kita dapat dipertemukan semula nanti.

Saya mengingatkan diri supaya terus mencari keredhaan Allah dan kasih sayangNya kerana tanpa keredhaanNya apa pun yang kita lakukan tidak ada makna.

Ya Allah ! ku pohon keredhaanMu buat ku , ahli keluargaku , saudara dan sahabat sekalian serta sekalian muslimin dan muslimat. Ameen.

No comments: